Monday, 15 April 2013

SURAT TAULIAH CALON-CALON BN DALAM PRU-13 SUDAH DISERAH!

-SATU PERTIGA DARIPADA BARISAN CALON-CALON AHLI PARLIMEN BN YANG AKAN BERTANDING ADALAH MUKABARU SEMENTARA HAMPIR SEPARUH DARI CALON-CALON PERINGKAT DUN JUGA AKAN DIBARISI OLEH MUKA-MUKA BARU YANG DIPERCAYAI DAPAT MEMENUHI KEHENDAK & ASPIRASI RAKYAT MASAKINI!-

Najib menyerahkan surat watikah dan aku janji calon BN kepada Tan Sri
Muhyiddin Yassin sebelum penamaan calon PRU-13.-TheStar
Barisan Nasional (BN) akan menampilkan 33% muka baru di kerusi Parlimen manakala 49% di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak dipetik mStar sebagai berkata calon yang tersenarai adalah mereka yang dapat memenuhi akujanji yang terdapat dalam manifesto BN.

"Senarai calon BN ini pada hemat saya adalah barisan terbaik yang mampu kita sediakan untuk memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat.

"Pemilihan calon kali ini telah melalui proses yang panjang kerana banyak rundingan dengan parti kompenan dan pengerusi BN negeri," katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah dan senarai calon kepada pemimpin parti komponen BN dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri di Menara Dato Onn di sini pada Isnin.

Beliau berkata mengikut jadual senarai calon parti komponen BN akan diumumkan oleh pimpinan masing-masing pada Isnin atau Selasa.

Sementara itu, menurut Najib, calon Umno akan dirangkum dan diumumkan secara serentak oleh Pengerusi BN negeri masing-masing.

Mengulas lanjut Najjb yang juga Presiden Umno berkata pemilihan senarai calon kali ini dibuat dengan mengambil kira sentimen dan aspirasi pengundi.

Najib dijangka akan menyerahkan surat tauliah calon parti itu yang mengandungi nama setiap calon bagi 222 kawasan Parlimen dan 505 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bertanding dalam PRU-13 kepada pengarah pilihan raya BN negeri pada satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada hari ini.

Kebanyakan negeri dijangka membuat pengumuman calon-calon itu sama ada pada Isnin atau Selasa ini.

Najib menyerahkan surat watikah dan aku janji calon BN PRU-13 kepada Presiden
MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.-TheStar
Sementara itu, semua mata kini tertumpu kepada senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan diumumkan serentak di 14 negeri pada Selasa di mana perhatian lebih diberikan kepada calon di Selangor, Kedah, Johor dan Melaka.

Bagi Selangor dan Kedah yang cuba dirampas kembali BN selepas tewas kepada Pakatan Rakyat pada 2008, senarai itu akan mengenal pasti calon Menteri Besar negeri tersebut sekiranya BN menang.

"Selangor akan menyaksikan perubahan besar. Pada perkiraan terakhir, bilangan calon baru adalah kira-kira 70%. Itu hanya melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Untuk senarai calon kerusi Parlimen di Selangor, perubahan boleh jadi 60% atau lebih besar," kata sumber dalaman parti pada Ahad.

Sumber berkata, jika BN menawan semula Selangor, sudah pasti calon Menteri Besar adalah seseorang yang baru dan tidak dikenali ramai.

Tiga calon pilihan untuk jawatan itu adalah Naib Ketua Umno Bahagian Tanjung Karang, Datuk Shamsuddin Rais, Ketua Umno Bahagian Subang Dr Bushro Mat Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal.

Bagi Kedah, sumber BN yakin terhadap prestasi parti itu di negeri tersebut kerana kerajaan PAS yang menerajui negeri itu dilihat dalam keadaan kucar-kacir ekoran masalah dalaman parti.

Sementara itu, tiga calon pilihan bagi jawatan Menteri Besar Kedah adalah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Latt Shariman Abdullah yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah.

"Malah di Kedah, bilangan muka-muka baru adalah kira-kira 50% tetapi kebanyakan mereka akan bertanding di kerusi Parlimen," kata seorang pemimpin BN.

Tidak ketinggalan, Johor turut akan mempunyai Menteri Besar baru tanpa mengira apa jua keputusan pertemuan di antara Datuk Abdul Ghani Othman dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Walaupun Pakatan Rakyat menyatakan hasrat untuk merampas kubu kuat BN di Johor, BN dijangka akan mempertaruhkan senarai calon hebat untuk kekal berkuasa di negeri itu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed dikatakan sebagai calon pilihan untuk menggantikan tempat Ghani.

Sumber berkata, kira-kira 300 calon BN pada pilihan raya umum 2008 akan digugurkan kali ini.

Najib yang juga Pengerusi BN akan menyerahkan surat tauliah calon parti itu kepada Pengarah Pilihan Raya BN negeri dalam satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Isnin.

Pengarah setiap negeri kemudiannya akan menyerahkan surat tersebut kepada calon-calon untuk kerusi Parlimen dan DUN di negeri masing-masing.

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List