Friday 13 May 2016

PRK Sungai Besar: Pembangkang Rebut Bertanding


SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) dijangka berdepan saingan lebih daripada satu parti pembangkang apabila Parti Amanah Negara (PAN) turut menyatakan hasrat meletak calonnya selepas PAS mengesahkan untuk berbuat demikian.

Ketua Pemuda PAN Selangor, Abbas Azmi, berkata pihaknya mempunyai beberapa calon yang semuanya mempunyai kelebihan tersendiri dan diyakini diterima masyarakat setempat.

"Pemuda PAN negeri akan mencadangkan calon parti ini dipilih mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Parlimen Sungai Besar.

"Calon PAN wajar diberi laluan untuk mewakili PH dalam PRK ini. Kami bersedia dengan apa juga kemungkinan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abbas berkata, gerak kerja bertemu masyarakat dan pengundi sudah dimulakan, termasuk memberi bantuan makanan asas kepada fakir miskin, edaran risalah bagi memperkenalkan misi dan visi PAN serta melaksanakan program kemasyarakatan.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata parti itu akan mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar daripada sekutu PH.

Iskandar berkata, calon PAS lebih layak bertanding berbanding DAP, PKR atau PAN, malah menegaskan ia secara tradisi adalah milik PAS sejak 1990-an.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon, yang terkorban dalam nahas helikopter Eurocopter AS350 di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Noriah yang juga Timbalan Menteri Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, menjadi Ahli Parlimen Sungai Besar selama tiga penggal sejak tahun 2004. (-BH)

Manakala itu, PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor dan PRK Parlimen Kuala Kangsar, Perak akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, manakala hari penamaan calon pada 5 Jun.

Menurut Berita Harian perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu, Wan Mohammad Khairil memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar selepas menewaskan calon PAS dan Bebas, manakala Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar selepas mengalahkan calon PAS.

Dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas berhubung kedua-dua PRK berkenaan, Mohd Hashim berkata, SPR menetapkan pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar.

Bagi PRK Sungai Besar, pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi ialah di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar.

Allahyarham Noriah dan Wan Mohammad merupakan antara enam mangsa kemalangan helikopter jenis Eurocopter AS350 yang terhempas dekat Sebuyau iaitu ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang helikopter, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khairil memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, Bebas dengan majoriti 1,082 undi. -UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List