Friday 6 June 2014

KETUA MENTERI SARAWAK AKAN MASUK CAMPUR HANYA JIKA TERAS "MEMUDARAT"KAN BN NEGERI

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan hanya masuk campur untuk menangani tindak-tanduk beberapa ahli politik yang keluar daripada dua parti komponen Barisan Nasional (BN) dan menyertai parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), apabila keadaan boleh menjejaskan kedudukan BN.

Adenan berkata sebagai pengerusi BN negeri, beliau tidak boleh mencampuri urusan dalaman mana-mana parti komponen. Bagaimanapun, beliau berkewajipan berbuat sesuatu dalam isu itu dengan kedudukannya sebagai penasihat.

Adenan berkata demikian kepada pemberita dalam perjumpaan khas dengan media di Kuching bersempena 100 hari beliau menjadi ketua menteri Sarawak.

Beliau merujuk kepada isu lima anggota dewan undangan negeri dan seorang anggota parlimen daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), dan empat anggota dewan undangan negeri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), menyertai TERAS.

Apabila diminta mengulas tentang permohonan TERAS untuk menyertai BN, Adenan berkata: "Kami akan buat keputusan mengenainya apabila sampai masanya (nanti)".

Adenan berkata baru-baru ini, beliau memberi taklimat tentang isu itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Baru-baru ini juga beberapa pemimpin SPDP dan SUPP menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap TERAS dan meminta BN tidak menerima parti itu sekiranya ia memohon untuk menjadi parti komponen.

Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata beliau akan membantah kemasukan TERAS ke dalam BN dan yakin parti baharu itu tidak akan diterima kerana bukan sahaja SUPP yang membantahnya, tetapi juga beberapa parti komponen lain, termasuk Parti Rakyat Sarawak (PRS), SPDP dan parti lain di Sabah dan malah, parti dari Semenanjung.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang bagaimanapun enggan mengulas tentang isu itu.
Menurut sumber, bekas presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom, yang juga Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, akan mengetuai TERAS sebagai presiden.

Mawan, anggota parlimen Seratok dan anggota dewan undangan negeri Pakan, meninggalkan SPDP untuk menyertai TERAS bulan lepas berikutan krisis yang melanda parti itu.

Penganjur TERAS, Datuk Peter Nansian Ngusie, yang juga Menteri Muda Perkhidmatan Komuniti dan Pembangunan Industri Sarawak dan anggota dewan undangan negeri Tasik Biru, disebut-sebut akan menjadi timbalan presiden.

Bekas pengerusi SUPP cawangan Sibu dan anggota dewan undangan negeri Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh pula diramal menjadi setiausaha agung.

Menurut Nansian, TERAS akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa Ahad ini.-BERNAMA

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List