Friday, 20 June 2014

BARISAN NASIONAL SARAWAK KINI DALAM DILEMMA?


Ditelan mati emak, diluah mati bapa, begitulah gambaran UnReportedNews™® meninjau perkembangan lanskap politik Barisan Nasional (BN) Sarawak terkini dengan kewujudan parti baru iaitu Parti Tenaga Rakyat (TERAS).

Masakan tidak, tika dan saat ini, TERAS sedang "mengintai" ruang dan peluang untuk menyertai BN Sarawak namun umum tahu (seperti yang tersirat dalam perlembagaan BN) untuk menjadi parti komponen baru BN, ianya perlu mendapat "restu" dari semua parti-parti komponen BN.

Untuk empat parti komponen BN Sarawak yang sedia ada, selain dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bagaikan memilih untuk "berdiam diri" mengenai perkara ini, Parti Demokratik Progressif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan lantang telah menyuarakan pendirian mereka yakni mereka tidak akan sesekali menerima TERAS sebagai rakan parti komponen BN Sarawak mereka, malah mereka juga bertekad jika perlu, mereka tidak akan teragak-agak "menentang" TERAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan dalam setahun dua ini.

Secara umum, TERAS dilihat bukanlah sebuah parti yang calang-calang kerana ianya diketuai oleh bekas Presiden SPDP yang juga Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri Datuk Sri William Mawan Ikom serta dianggotai oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti dan bekas Pengerusi SUPP Sibu Dato Seri Wong Soon Koh, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri, Menteri Muda Pendidikan Awal Rosey Yunus dan Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr. Jerip Susil, Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Adun Pelagus George Lagong.

Sejujurnya, pandangan UnReportedNews™® yang tidak seberapa ini, dalam hal ini, berpegang kepada perinsip adalah jalan yang terbaik sekali dimana sesuatu perlembagaan dan undang-undang yang dicipta oleh manusia itu sendiri haruslah di patuhi. Yang tidak dibolehkan seharusnya tetap tidak dibolehkan, jangan kerana sesuatu situasi atau keadaan maka undang-undang atau perlembagaan itu di "bengkok"kan dan tidak berlandaskan dengan undang-undang atau perlembagaan yang sedia ada.

Mungkin pandangan UnReportedNews™® ini akan mendapat reaksi yang negatif dari sesetengah pihak namun ini adalah realiti kerana sekiranya BN Sarawak tidak mematuhi perlembagaan mereka sendiri, ianya mungkin akan menjadi "benchmark" serta memulakan "trend yang baru" pada masa yang akan datang dimana sekiranya ada ahli-ahli parti komponen BN yang tidak bersependapat lagi, mereka akan dengan senang-lenang keluar dari parti komponen BN yang sedia ada untuk mewujudkan sebuah parti yang baru sebelum memohon kembali sebagai sebuah parti komponen BN.

Walaubagaimanapun, UnReportedNews™® tetap yakin Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem menpunyai resolusinya yang tersendiri dalam permasalahan ini di mana beliau akan "menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak" untuk menyelesaikannya dengan cara yang bijaksana bagi pihak-pihak yang berbalah agar tidak merugikan BN Sarawak dan sebaliknya, akan menguntungkan pula pihak pembangkang.

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List