Tuesday 5 November 2013

BAYI KOMA, TERCAMPAK KELUAR DARI KERETA DILARIKAN

-DUA LAGI TERCEDERA DALAM KEJADIAN KERETA DILARIKAN OLEH SEORANG REMAJA 17-TAHUN!-

Dua keluarga melalui detik cemas apabila seorang remaja lelaki melarikan dua kereta bersama anggota keluarga mereka dalam dua kejadian di Dungun semalam.

Kejadian yang bermula kira-kira 5 petang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Pantai Timur di Bukit Besi-Ajil itu menyebabkan Abdul Pirhat Karim, 34, dan Che Mastura Che Awang, 31, cedera manakala anak mereka Muhammad Ashraf Ikhwan yang berusia sembilan bulan koma.

Bayi itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, manakala Che Mastura yang patah tulang rusuk juga dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, kejadian bermula apabila remaja berusia 17 tahun itu melarikan sebuah kereta Nissan Grand Livina yang berhenti di kawasan R&R itu bersama sepasang suami isteri dan bayi mereka di dalam kenderaan itu.

“Kenderaan itu berhenti di kawasan berkenaan dan pemandu kereta itu bersama isteri, kedua-duanya anggota polis dari Brickfields, ke tandas meninggalkan abang dan kakak ipar mereka bersama bayi itu di dalam kereta.

“Keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarah keluarga di Tumpat, Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas melawat bayi itu hari ini.

Beliau berkata, ketika remaja terbabit memandu kereta itu menghala ke Dungun, berlaku pergelutan antara remaja itu dan Abdul Pirhat menyebabkan kereta itu hilang kawalan dan merempuh sebuah Proton Waja dan sebuah lori tanah dari arah yang sama.

Rempuhan itu menyebabkan penumpang kereta berkenaan dan bayi mereka tercampak keluar daripada kenderaan itu, katanya sambil memberitahu yang remaja terbabit sebelum itu cuba melarikan sebuah Proton Persona di R&R yang sama tetapi gagal.

Jamshah berkata, selepas kemalangan di Km88 Jalan Jerangau-Jabor itu, remaja terbabit menahan kereta Perodua Myvi yang dinaiki sebuah keluarga dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dan berpura-pura meminta pertolongan.

“Apabila wanita berusia 18 tahun yang memandu kereta itu dan ayahnya berusia 55 tahun keluar daripada kereta, remaja terbabit dengan pantas masuk ke dalam
kereta dan melarikan kereta itu bersama ibu, adik dan dua anak saudara wanita itu,” katanya.

Beliau berkata, pemandu dan dua penumpang kereta Proton Waja serta pemandu lori yang dirempuh remaja itu tidak cedera.

Drama dua jam itu berakhir apabila polis, yang melancarkan gerakan memburu remaja terbabit berjaya menahannya bersama kereta Myvi yang dilarikan dengan empat penumpang di dalamnya dalam sekatan jalan raya di Batu Rakit dekat sini, kira-kira 7 malam.

Jamshah berkata, siasatan awal polis mendapati remaja lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian air kencing juga mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.

Remaja yang telah berhenti sekolah semasa dalam tingkatan dua itu berasal dari Kemaman, katanya sambil memberitahu bahawa suspek dipercayai bukan mahu merompak, sebaliknya hanya melarikan kenderaan.

Beliau berkata, polis masih menyiasat latar belakang suspek dan remaja yang dipercayai mengalami masalah mental itu akan dirujuk kepada pakar perubatan. –Bernama

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List