Thursday 31 March 2016

PRN11 Sarawak: Henry Sedia Sokong Nansian


Datuk Henry Harry Jinep bersedia memberi sokongan kepada Datuk Peter Nansian Ngusie jika dipilih sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Namun pada masa sama, Henry yang ditampilkan oleh Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) untuk bertanding di kerusi tersebut juga mengharapkan agar Nansian turut melakukan perkara yang sama jika beliau (Henry) dipilih.

“Saya akan menyokong jika beliau (Nansian) dipilih tetapi begitu juga saya mengharapkan pihak lain untuk melakukan perkara yang sama kepada saya bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemu bual selepas Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di kawasan DUN Tasik Biru di Dewan Suarah Bau di sini, semalam.

Terdahulu, Adenan dalam ucapannya telah menyeru agar Henry dan Nansian bersumpah untuk memberi sokongan kepada sesiapa sahaja antara mereka berdua yang dipilihnya sebagai calon BN untuk bertanding di DUN Tasik Biru pada PRN nanti.

Dalam pada itu, Henry optimis akan dipilih sebagai calon namun beliau menyerahkan segala keputusan kepada Adenan selaku pengerusi BN Sarawak.

“Saya fikir beliau (Adenan) telah melihat kedua-dua pihak dan adalah jelas bahawa SPDP mempunyai kekuatan kerana bergabung serta bersatu dengan semua parti komponen BN lain,” katanya.

Berhubung perjuangannya untuk bertanding di DUN Tasik Biru sekali gus mengetepikan Nansian selaku penyandang kerusi tersebut selama empat penggal sejak 1996, Henry berkata ia adalah demi mempertahankan hak parti.

“Saya dan Nansian adalah sama-sama dalam satu pihak iaitu BN tetapi bagi kami dalam SPDP, ia adalah hak kami berlandaskan prinsip BN.

“Ini (Tasik Biru) adalah kerusi kami dan kami perlu memperjuangkan hak kami,” tegasnya.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Kumpulan Putra Sentosa itu menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dari segi hubungan dengan Nansian.

“Kami banyak mengambil gambar bersama dan senyum antara satu sama lain,” katanya. - Utusan Borneo

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List