Saturday, 19 October 2013

PEMUDA & WANITA PBB SEDIA MENGHADAPI CABARAN

-PENGERUSI PBB & JUGA KETUA MENTERI SARAWAK PEHIN SRI HAJI ABDUL TAIB MAHMUD MAHU PEMUDA & WANITA PBB CAPAI KEMAJUAN LEBIH TINGGI! HIDUP PBB!-

Sejajar dengan tema Perhimpunan Agung Ke-13 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ‘50 Tahun Kegemilangan Lonjak Perjuangan Kita Ke Hadapan,’ Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB terus mengorak langkah mencapai kemajuan lebih tinggi.

Ketua Menteri merangkap Presiden PBB yang berkata demikian menerusi perutusan buku atur cara Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB hari ini turut menyeru para ahli dan pemimpin pergerakan itu menimba ilmu pengetahuan dan bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran.

“Saya menyeru agar semua anggota Pergerakan Wanita dan Pemuda supaya terus bergerak maju ke hadapan, menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan kemahiran, bersiap siaga mendepani apa juga cabaran mendatang dan mengukuh serta memantapkan lagi keutuhan parti demi rakyat dan negeri tercinta,” katanya.

Sambil menyifatkan dua pergerakan itu sebagai tonggak utama PBB, beliau berkata, mereka wajar berusaha dengan penuh iltizam untuk menjadi satu pasukan yang terus melaksanakan perjuangan parti.

Perpaduan dalam parti juga telah mengukuhkan PBB hingga berupaya meraih keyakinan rakyat seperti dibuktikan menerusi pencapaian cemerlang pada setiap pilihan raya, katanya.

“Berkat kesatuan dan kesepakatan dalam PBB yang mengamalkan pendekatan kepemimpinan adil dan saksama kepada semua kaum, memperlihatkan PBB terus mendapat sokongan padu rakyat di seluruh pelosok negeri Sarawak.

“Pencapaian dan prestasi PBB dalam Kerajaan Barisan Nasional di Sarawak tiada tolok bandingnya,” ujarnya.

Taib turut berharap persidangan ini dapat dijadikan medan penting bagi mencerna idea bagi memajukan parti.

“Bersama-sama kita jadikan perhimpunan kali ini sebagai titik tolak utama ke arah memperkukuhkan lagi perjuangan parti,” katanya.

Pagi ini Ketua Menteri dijadual merasmikan Perhimpunan Agung Ke-13 Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Manakala perhimpunan bagi badan induk akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Oktober.

Seramai kira-kira 6,000 perwakilan dan pemerhati akan menghadiri perhimpunan parti tunjang BN di Sarawak itu mulai hari ini hingga 22 Oktober.

Perhimpunan Agung Pemuda dan Wanita PBB kali ini turut menyaksikan Datuk Fadillah Yusof dan Dato Sri Empiang Jabu kekal sebagai ketua pergerakan masing-masing. (sumber)  

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®