Monday, 16 April 2012

G5 TETAP AKAN PERTAHANKAN MAS GADING PADA PRU KE 13

-MEREKA AKAN MENCADANG NAMA PENYANDANG KERUSI TERSEBUT IAITU DATO' TIKI LAFE KEPADA BN PUSAT KERANA BELIAU ADALAH "WINNABLE CANDICATE"-

Peter Nansian Ngusie bersama  Dr Tiki Lafe, Sylvester Entri,
Rosey Yunus & Paulus Palu Gumbang
Kumpulan wakil rakyat yang dilabel Geng 5 (G5) tetap lantang menyuarakan hak mereka mencadangkan nama calon bagi kawasan Parlimen Mas Gading kepada Barisan Nasional (BN) sebagai calon alternatif.

Bekas Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang juga jurucakap kumpulan itu, Datuk Peter Nansian Ngusie bertegas adalah tidak menjadi kesalahan kepada mereka untuk mencadangkan nama penyandang kerusi berkenaan, Dato' Dr Tiki Lafe memandangkan beliau merupakan calon yang  paling boleh menang.

Menurutnya, sama ada BN akan menerima atau sebaliknya, G5 tetap akur dengan sebarang keputusan yang bakal diputuskan kerana apa yang penting kini ialah Dr Tiki masih mempunyai sokongan padu dari semua jentera  kepimpinan peringkat akar umbi.

"Tidak salah kami (G5) untuk mencadangkan nama Dr Tiki sebagai calon alternatif kepada calon yang bakal diletakkan oleh SPDP. Bagi masyarakat di Mas Gading beliau (Dr Tiki) merupakan calon yang paling boleh menang.

"Dr Tiki bukan sahaja boleh menang, tetapi akan menang dengan kelebihan undi yang paling besar. Lihat sahaja malam ini, semua pemimpin di Mas Gading hadir di sini, jelas membuktikan kita masih memiliki sokongan kuat dan keyakinan daripada mereka," katanya sambil mengakui keputusan muktamad masih terpulang kepada pimpinan tertinggi BN.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam jamuan malam Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Redeems, Kampung Apar yang turut dihadiri ahli lain dalam G5, Datuk Sylvester Entri Muran, Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang yang masing-masing merupakan wakil rakyat Marudi, Bekenu dan Batu Danau dekat sini pada malam semalam.

Mengulas lanjut, Menteri Muda Pembangunan Komuniti itu juga memberitahu G5 tidak pernah berniat untuk melawan 'bapa' seperti mana yang sering dicapkan sebelum ini, sebaliknya akan mengambil langkah ke hadapan dengan mengesyor nama Dr Tiki pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, meskipun Presiden SPDP Tan Sri William Mawan mengatakan adalah tidak logik bagi kumpulan lima bekas pemimpin parti itu untuk menamakan calon, namun ia sebenarnya tidak tepat memandangkan mereka hanya akan mencadangkan nama calon bukannnya menentu atau menamakan calon.

"Kita (G5) tidak pernah menyatakan untuk menamakan Dr Tiki sebagai calon sebaliknya hanya mencadangkan nama beliau sebagai calon alternatif kepada pucuk tertinggi BN. Terpulang kepada BN untuk memutuskan senarai akhir calon kelak.

"Apa yang mustahak, kita tidak membudayakan politik negatif dengan perjuangan kita tidak akan terkeluar dari prinsip BN, katanya.

Nansian menambah, populariti seseorang tidak semestinya membolehkannya menang dalam pilihan raya umum nanti.

Sebaliknya ujarnya, jika mereka menang kerana mereka berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira waktu, orang seperti ini boleh menang apabila dipilih sebagai calon, jelasnya lagi.

Dalam majlis sama, kira-kira 1,200 anggota SPDP dari kawasan N1 Opar dan N2 Tasik Biru telah mengumumkan keluar parti itu dengan menyerahkan kad keahlian masing-masing dan melafazkan ikrar taat setia dan sokongan kepada Kelab BN.

Dr Tiki menerima kad keahlian SPDP N1 Opar yang keluar parti
& menyertai Kelab BN di Bau
Pada majlis tersebut, Dato' Dr Tiki Lafe juga menegaskan dia tetap bersemangat untuk berkhidmat untuk rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar dan Tasik Biru meskipun sering kali dilabel sebagai 'orang jahat'.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara itu juga memberitahu pandangan orang lain yang seumpamanya tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus turun padang menemui rakyat dan mendengar permasalahan mereka.

Malah dedahnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan empat mata dengannya pada 25 Mac lalu telah mengarahkannya meneruskan program turun padang di kawasan Mas Gading bagi menyelami sendiri permasalahan penduduk serta mencari jalan untuk mengatasinya dengan kadar segera.

"Saya tidak akan menjauhkan diri daripada rakyat kerana itu bukan sikap pemimpin atau wakil rakyat Barisan Nasional (BN). Walaupun tidak berparti lagi, namun kerajaan BN masih menyalurkan peruntukan sama kepada saya seperti mana sebelum ini.

"PM sendiri berjanji akan menolong saya malah mengarahkan saya mengemukakan senarai projek di kawasan Mas Gading untuk kemudahan serta keselesaan rakyat," katanya semasa berucap pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Dr Tiki mengakui kerusi yang disandangnya selama tiga penggal perlu dikekalkan dalam tangan BN.

Katanya, persoalan siapakan yang bakal mengibar panji BN dalam pilihan raya umum akan datang tidak perlu diperdebatkan secara ekstrim memandangkan keputusan itu terletak pada budi bicara pucuk kepimpinan tertinggi BN.

"Kita mesti kekalkan Mas Gading di bawah BN. Jangan biarkan pihak lain mengambil peluang dengan situasi semasa dengan merampas kerusi di kubu kuat BN ini," jelasnya.

Baru-baru ini, Tan Sri William dipetik sebagai berkata bahawa penyandang kerusi Parlimen Mas Gading Dr Tiki tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang mahu pun sebagai calon terus BN tanpa persetujuan parti itu.

Mawan, yang juga Menteri Pembangunan Sosial menegaskan Dr Tiki, yang diberi surat tunjuk sebab kerana didakwa ingkar, akan digantikan oleh dua bakal calon boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Sumber: Utusan Sarawak

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®