Friday, 24 November 2017

Kes Pasangan Tidur Di Kaki Lima Di Bintulu Adalah Kes Berulang 


Ramai netizen terkejut setelah kes/gambar sepasang suami isteri dan seorang anak kecil tidur di kaki jalan di kawasan Parkcity Bintulu telah tersebar di media sosial pada hari ini.

Tidak kurang juga yang terus menghentam dan menyalahkan kerajaan kerana tidak memberi bantuan kepada keluarga ini.

Saya telah menghubungi pihak Kebajikan Masyarakat Sarawak bagi mendalami perkara ini. 

Saya kemudiannya dimaklumkan, kes pasangan ini adalah "kes berulang" dimana sebelum ini pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Bintulu telah berusaha untuk membantu keluarga ini.

Berikut adalah maklumat yang saya dapati dari Jabatan Kebajikan Sarawak; Suami: Richard, Isteri: Linda Anak Buan, Anak: Nathan Alek Anak Linda (2 tahun 2 bulan) dan Status Kes: Kes Berulang.

Fakta Kes: 
Kedua suami-isteri Linda dan Richard tiada dokumen pengenalan diri sehingga kini.

Pada Januari 2016, PKMB Bintulu pernah melawat keluarga ini di rumah setinggan di Kawasan Parkcity Bintulu namun  tiada apa bentuk bantuan boleh disalurkan ketika itu kerana tiada memiliki sebarang bentuk dokumen pengenalan diri

PKMB Bintulu kemudiannya telah membuat hebahan radio memanggil kedua ibubapa Linda turun ke Bintulu untuk membuat dokumen, malah, PKMB Bintulu juga telah membantu membawa ibubapa Linda ke JPN Bintulu bagi urusan tersebut.

PKMB Bintulu juga telah berusaha cuba memindahkan keluarga ini bersama nenek Richard (mendiang Puan Umo), yang merupakan bekas penerima bantuan BOT JKM dan memiliki sebuah rumah PPRT di Sungai Plan, Bintulu yang diwarisi daripada mendiang suami bernama Santap.

Richard dan Linda bersama anak mereka telah berpindah balik ke rumah EKasih milik nenek Richard itu di Sungai Plan namun dipercayai mereka telah keluar semula dari rumah itu tidak lama kemudiannya dan telah menyewanya kepada orang lain dengan sewaan RM300. Ini dimaklumkan oleh ipar Richard sendiri.

Pada 28 September 2017, Richard telah memukul Linda kerana mabuk sehingga dimasukkan ke hospital Bintulu. 

PKMB Bintulu telah mengambil tindakan dengan menyelamatkan anak Linda dan selepas dikeluarkan dari hospital, menghantar dia dan anaknya balik ke pangkuan ibubapa Linda di Rumah Joshua Manit, Jalan Bintulu-Sibu.

Gambar yang tersebar di media sosial hari ini telah membuktikan bahawa Linda sudah datang balik ke Bintulu untuk bersama Richard. 

Saya kemudiannya menghubungi Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Seri Hajah Fatimah Abdullah untuk bertanya apakah tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak seterusnya bagi membantu keluarga ini.


Beliau menyatakan pihaknya telah cuba membantu keluarga ini dan akan berusaha membantu dari pelbagai sudut namun, keutaamaan kini adalah untuk menjaga kebajikan anak pasangan tersebut yang telah menjadi mangsa keadaan.-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®