Monday, 12 June 2017

Karim Tak Peduli Kesombongan Nazri Dan Akan Pertahankan Hak Sarawak!   


KUCHING: “Jika difikirkannya (Nazri) bahawa saya tidak faham, berlagak, samseng ….saya tidak fikir dia tahu siapa saya!

“Adalah tidak sopan untuk memanggil seseorang itu sebagai setahun jagung, samseng dan seumpamanya … terutamanya jika anda seorang menteri kanan dan pada bulan Ramadan,” jawab Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, mengulas tempelakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Pusat, Datuk Seri Nazri Aziz terhadapnya pada Sabtu.

Serangan Nazri berikutan tindakan Abdul Karim yang baharu dilantik ke jawatan itu pada bulan lalu, mengkritik tindakannya untuk melaksanakan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan ke seluruh negara bermula 1 Julai depan, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Abdul Karim berkata, tindakan tersebut tidak bijak dan perlu disemak semula kerana dikhuatiri akan menjejaskan sektor pelancongan negeri.

Mengulas serangan itu lagi, Abdul Karim menafikan gelaran “setahun jagung” Nazri itu sebagai penghinaan kepadanya.

Tegas Abdul Karim, adalah menjadi haknya untuk meminta penangguhan dan semakan semula pelaksanaan Cukai Pelancongan yang dipaksakan kepada negeri ini tanpa berunding dengan tuan tanah.

“Saya tidak akan tunduk kepada kesombongan dan reaksi kasar menteri ini.

“Apa yang saya lakukan adalah berdasarkan kepada lunas undang-undang … berdasarkan apa yang saya tahu sebagai seorang pengamal undang-undang dan untuk menjaga kepentingan Sarawak.

Abdul Karim berkata, isu Cukai Pelancongan tersebut dijangka akan dibincangkan lanjut dalam mesyuarat kabinet tidak lama lagi dan keputusan kabinet itu kelak akan membolehkan Kerajaan Negeri membuat tindakan susulan.

“Isu ini perlu dibincangkan di peringkat yang lebih tinggi daripada kementerian saya.

“Ia hak mutlak Kerajaan Negeri dan rakyat Sarawak,” jelasnya selepas menyertai program agihan bubur lambuk dan bubur pedas di Sarawak Plaza petang semalam.

Program tersebut dianjurkan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Sarawak dengan kerjasama Borneo Island Big Bikers (BIBB).

Abdul Karim berharap bahawa tindakan susulan yang diambil oleh Kerajaan Negeri mengenai pelaksanaan Cukai Pelancongan akan diperhalusi dan akan ditangani secara baik untuk semua pihak.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak bermaksud untuk menentang pelaksanaan Cukai Pelancongan sebaliknya kecewa tidak dirujuk mengenai perkara itu.

Sementara itu, rakyat Sarawak bersatu mengutuk reaksi kasar Nazri dan berdiri teguh di belakang Abdul Karim.

Adun Muara Tuang, Datuk Idris Buang melalui status facebooknya berkata: “Kita sokong menteri kita YB Datuk Abdul Karim dalam hal ini seratus peratus.

“Jangan cuak dengan ‘menteri tuakah, menteri lamakah’ dari sana …dari KL.

“Mun sik tegal BN Sarawak & Sabah , BN di Semenanjung boleh tumbang, you you ! Apa salahnya untuk menghormati kita mempertahan hak-hak negeri Sarawak?

“Tunjukkanlah adat budaya setia kawan yang sejati dan baik kepada kita dari kepulauan Borneo ini; yang sentiasa merendah diri dan menghormati rakan dari Semananjung.

“Kami bersikap beradat bukan ertinya kami boleh dibuli!


Difahamkan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 15 Jun ini. Mungkinkan isu ini antara agenda yang akan dibincangkan? – Sarawakvoice

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®