Monday, 12 August 2013

BUKU "AWAKENING" BUKAN DITULIS PAK LAH?

-KENYATAAN MEDIA YANG AMAT BERBAHAGIA TUN ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI MENGENAI BUKU "AWAKENING"-

Sejak dua tiga hari yang lepas, banyak berita diterbit mengenai 'buku Pak Lah'. Isu ini juga mendapat liputan luas dalam media sosial dengan pelbagai reaksi dan komen. Sebelum saya memberi apa-apa komen, mungkin saya perlu memberi sedikit penjelasan tentang buku tersebut. Pertamanya, buku tersebut tidak ditulis oleh saya. Buku ini disusun oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh, dengan memuatkan beberapa rencana oleh pelbagai penulis yang telah menyumbangkan tulisan masing-masing mengenai pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri. Ada yang dikhabarkan positif dan banyak juga yang negatif dan kritikal. 

Kedua, saya sendiri hanya terlibat melalui wawancara yang dibuat oleh James Chin dan Bridget Welsh. Wawancara ini lebih kepada menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penulis-penulis yang telah menyumbang kepada buku tersebut dan memberi saya ruang untuk menjelaskan beberapa perkara dari sudut saya sendiri. 

Ketiga, saya tidak menaja atau meminta buku tersebut diterbitkan. Sudah menjadi perkara biasa para akademik membuat analisa tentang sejarah politik negara kita dan sudah pasti era saya tidak terlepas dari kajian ilmiah. Saya cuma telah setuju untuk diwawancara agar suara, pendapat serta penjelasan saya dapat dimuatkan didalam buku tersebut. 

Keempat, oleh kerana saya bukan penerbit, pencetak, pengarang ataupun penulis buku tersebut, saya tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab diatas mana-mana jemputan untuk melancarkan atau membincangkan buku tersebut. Berita yang mengatakan pemimpin dari parti pembangkang dijemput untuk melancarkan buku ini di Singapura - kalaupun benar - adalah keputusan penerbit buku, bukan saya.

Kelima, saya tidak merancang untuk menghadiri pelancaran buku tersebut. Ini kerana saya tidak mahu orang membuat andaian yang buku ini ditulis atau ditaja oleh saya. Saya cuma menjawab soalan yang ditanya. Biarlah jawapan-jawapan saya menjadi tumpuan pembaca. Berlatarbelakangkan fakta-fakta diatas, saya berharap orang awam mendapat gambaran yang lebih jelas tentang 'buku Pak Lah'. 

Sekali lagi, ini bukan buku yang ditulis atau ditaja oleh saya. Mungkin ada yang bertanya, kenapa Pak Lah setuju untuk diwawancara oleh pengarang-pengarang yang dikatakan selalu menulis rencana yang kritikal? Saya bersetuju diwawancara kerana perlu ada penjelasan saya sendiri didalam kajian ilmiah ini. Suka atau tidak, setuju atau tidak, saya berpegang kepada prinsip keterbukaan sebagai paksi kepada demokrasi yang matang. Prinsip keterbukaan inilah yang saya amalkan apabila didatangi dengan permohonan oleh para pengarang buku ini untuk diwawancara. 

Walaupun saya dimaklumkan buku ini bakal memuatkan rencana yang kritis dan 'unflattering' tentang kepimpinan saya, saya masih setuju diwawancara atas semangat keterbukaan demi perdebatan yang seimbang dengan mengambil kira semua sudut pandangan. Sudah pasti pandangan-pandangan dalam buku ini akan mengundang reaksi-reaksi tertentu. Terpulanglah kepada semua pihak untuk membuat rumusan masing-masing. Prinsip keterbukaan bermaksud kita sedia memberi ruang kepada semua untuk bersuara. Tetapi janganlah pula ada yang membuat andaian bahawa buku ini ditulis oleh Pak Lah yang sudah bersubahat dengan pembangkang untuk menentang partinya sendiri. Itu sudah memesong fakta dan menjadi fitnah. Apa juga teguran yang diberikan dalam wawancara saya yang dimuatkan dalam buku ini dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat. Saya tak pernah meninggalkan UMNO dan Insya'Allah bila tiba masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir saya di dunia ini masih lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negaranya.

TUN ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI

12 Ogos 2013

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®