Thursday, 13 June 2013

UDAH-UDAHLAH TU NUAR!

-HURAIAN TERPERINCI MENGENAI MENGAPA ANWAR TIDAK LAYAK MENJADI PM OLEH RAKAN BLOGGER BELANTAN! TERBAEEK BRO! KEKEKE!!!-

Sebab utama Anwar Ibrahim menangguhkan persaraan politiknya sebagaimana dua kali dijanjikan, katanya kerana masih ada perkara yang hendak diselesaikannya. Perkara itu disebut beliau dengan mendakwa berlakunya penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)

Kononnya kemenangannya telah dirampas oleh pihak kerajaan. Pada saya, jika kerajaan mampu merampas kemenangan Anwar, lebih baik kerajaan merampas kemenangan di Gelang Patah, Permatang Pauh atau di Marang.

Tetapi semua orang tahu kerajaan tidak mampu merampas kemenangan sesiapa pun sebab itulah Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan lain-lainnya boleh menang. Jika kerajaan boleh merampas kemenangan negeri pula, sudah tentu kerajaan boleh merampas kerajaan negeri Selangor tetapi rakyat masih memilih pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, kemarahan Anwar ini sangat berbeza dengan suara kepimpinan Pas seperti Presiden Pas, Ketua Dewan Ulama Pas, Kerajaan Pas Kelantan, Pengerusi Perhubungan Pas Terengganu dan ramai lagi yang bersuara lembut dengan mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak malah menerima kekalahan mereka sebagai takdir.

Di luar negara, pemimpin-pemimpin asing seperti Presiden Amerika Syarikat, Perdana Menteri Singapura, Presiden China, Perdana Menteri Palestin, Perdana Menteri Britain, Perdana Menteri Australia, Thailand dan banyak lagi memberikan ucapan tahniah.

Malahan, Presiden Barrack Obama secara mengejut menelefon Najib untuk mengucapkan tahniah dan seterusnya memaklumkan akan hadir ke Kuala Lumpur untuk persidangan global hujung tahun ini.

Di samping itu juga, negeri Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang membentuk kerajaan masing-masing sebagai satu tanda mereka menerima dan mengiktiraf keputusan PRU-13. Jika mereka menolaknya, sudah tentu mereka akan memulaukan pembentukan kerajaan di negeri masing-masing.

Himpunan-himpunan selepas PRU-13, walaupun bertujuan mengajak rakyat bangun menjatuhkan kerajaan, namun saya lihat ia bersifat sementara.

Majoriti rakyat pasti menolaknya. Ia adalah kerana Anwar tidak dapat menerima kekalahan, termasuklah mereka yang tewas seperti Saifudin Nasution dan Mat Sabu. Oleh kerana kalah maka mereka menghabiskan masa dengan membantu Anwar memanaskan pentas-pentas himpunan.

Rakyat Malaysia majoriti senyap!

Majoriti rakyat Malaysia sukakan keamanan, kedamaian dan kesenangan supaya mereka boleh hidup bahagia, boleh mencari rezeki di mana-mana. Di Malaysia anda boleh menjadi lebih kaya daripada sesiapa sahaja asalkan anda rajin berusaha. Mereka mahukan keamanan supaya boleh menghantar anak-anak bersekolah, nelayan dan pekebun gembira menjual hasil mereka, penjual kereta boleh bergembira kerana dapat menjual kenderaan mereka 10 atau lebih dalam sebulan.

Rakyat mahu hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum untuk bersama keluarga, beristirehat dengan tenang dan melancong dalam negara dengan gembira. Tidak ada demo sana demo sini, yang merosakkan kegembiraan rakyat, yang menyebabkan 'macet', kekotoran di sana-sini yang menjelikkan mata memandang.

Anwar patut berhenti berdemonstrasi. Perkara ini sudah terlalu lama menjadi kebiasaan Anwar sejak awal 1970-an lagi ketika berpiket kerana kurangnya penggunaan bahasa Melayu di iklan-iklan kedai di sekitar Kuala Lumpur ketika itu. Sudah lebih 40 tahun Anwar berdemo, kini berdemo untuk menjadi Perdana Menteri.

Bagaimana mengurus Anwar!

Rakyat Malaysia boleh menidakkan cara Anwar untuk menjadi Perdana Menteri melalui proses jalanan. Anwar memberi info kurang tepat kepada orang ramai kononnya mereka memperolehi majoriti popular dengan 5.6 juta undi berbanding diperolehi BN 5.3 juta undi, selebihnya pula milik calon-calon Bebas dan undi rosak. Kena kira juga walaupun mereka calon Bebas. Anwar sengaja tidak melihat hal ini dan tidak minat mengulas angka 133 dan 89.

Jika kita melihat statistik PRU-13, sebenarnya undi popular pakatan pembangkang adalah di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak, Kelantan dan Selangor sahaja, yakni di kawasan majoriti Cina yang memberi sokongan kepada DAP. Bukannya di seluruh negara pun, 5 negeri sahaja.

Di Sabah, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Pahang, Perlis dan Terengganu majoriti popular dimenangi oleh BN iaitu 9 negeri. Maka, rakyat jangan terpedaya dengan mainan angka Anwar. Tetapi sebenarnya, kemenangan 133 kerusi sudah cukup untuk menutup mulut 89 angka.

Saya tidak hairan jika Anwar boleh mengumpul 30,000 di Pulau Pinang, 10,000 di Seremban, 20,000 di Johor atau katanya 40,000 di Kelana Jaya. Saya tidak akan hairan kerana jentera di belakang kepada semua himpunan itu ialah DAP dan juga PKR. Jumlah pengundi dalam PRU-13 baru-baru ini melebihi 10 juta orang, malah rakyat Malaysia sudah mencecah 30 juta, saya fikir lebih ramai rakyat Malaysia menolak demonstrasi atau himpunan seperti itu, hanya mereka ini silent majority yang tidak suka hiruk-pikuk.

Pada saya, biarkan dia meluahkan kekecewaannya di dalam stadium kerana Akta Perhimpunan Aman membolehkan mereka berhimpun sesuka hati, dari 8 malam hingga 8 pagi esok pun tidak mengapa, atau sambung saja 48 jam tanpa henti, menjeritlah, cakaplah apa sahaja di dalam stadium kerana Akta Perhimpunan Aman membenarkan.

Hanya jika berlaku perkara yang bertentangan dengan undang-undang, sudah tentulah tindakan akan diambil sebagaimana ke atas Adam Adli di bawah Akta Hasutan kerana menghasut orang ramai untuk menjatuhkan kerajaan melalui jalanan.

Sedangkan baru-baru ini, Kerajaan Singapura menangkap 21 rakyat Malaysia yang berhimpun menentang keputusan PRU-13 dengan tiga daripada mereka ditarik balik pas kebenaran bekerja di Singapura!

Mana-mana negara akan mengambil tindakan tegas ke atas rakyatnya yang melanggar undang-undang, saya yakin jika Anwar pun menjadi PM akan turut bertindak tegas ke atas mereka yang melanggar undang-undang keamanan?

Benar kata Azmin Ali, ini negara kita maka marilah kita jaga negara dengan bijaksana. Kalau begitu, pihak yang menang teruskan tanggungjawab, yang kalah perlu bermuhasabah. Lihatlah bagaimana Datuk Abdul Azeez Abd. Rahim kalah teruk pada 2008 di Baling tetapi boleh menang besar pada 2013.

Kabinet sudah dibentuk, rakyat Sabah dan Sarawak mendapat hadiah yang paling besar apabila bilangan Menteri dan Timbalan Menteri paling banyak dilantik berasal dari kedua-dua negeri tersebut. Inilah hadiah atas sokongan yang kuat, dan inilah masa untuk memajukan negeri Sabah dan Sarawak. Rakyat di Sabah dan Sarawak hendaklah tidak melepaskan peluang ini.

Kini, sudah sampai masanya kita bekerja. Lupakan seketika hal-hal PRU-13, mari kita bersama-sama membangunkan negara kita mengikut bidang kepakaran anda masing-masing.


-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®