Thursday, 15 November 2012

WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH

-SALAM MAAL-HIJRAH 1434H DARI UnReportedNews™®-
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendekatan Hijrah telah diterjemahkan dalam melaksanakan transformasi negara demi membawa Malaysia ke suatu keadaan yang lebih baik.

"Berpegang dengan definisi hijrah yang memberi maksud perpindahan atau perubahan, Malaysia telah melakukan perubahan sehingga berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa dan hasilnya, Malaysia kini menjadi antara negara yang sering mendapat pengiktirafan dan pujian negara luar sebagai sebuah negara Islam yang dinamik dan progresif."

Melafazkan rasa syukur kerana Malaysia masih dapat menyambut Maal Hijrah 1434H tahun ini melalui kesederhanaan dan kesejahteraan rakyat, Najib berkata, ia bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada kali ini iaitu ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

Berhijrah kata Najib, adalah daripada melaksanakan misi ketakwaan dan ia adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa.

"Kita mestilah sentiasa berhijrah setiap masa bagi mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat...mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah," katanya, merujuk ayat 218 Surah Al-Baqarah yang menyentuh konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah SWT.

Najib berkata, syariat Islam secara fitrahnya jika diamalkan akan menyatukan ummah dilihat daripada kesatuan dan kepimpinan yang mampu menghilangkan sempadan kaum, bahasa dan warna kulit.

Katanya, Malaysia telah menjana satu fikrah berkenaan tonggak kesatuan dan perpaduan melalui pendekatan wasatiyyah yang telah digarapkan dalam segenap perkara dalam pelaksanaan pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang di negara ini.

"Sesungguhnya melalui pendekatan wasatiyyah, keutuhan perpaduan dan persaudaraan sesama kaum dan agama dapat ditingkatkan," kata Najib yang menambah bahawa konsep itu juga dapat mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam kemajmukan yang menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah secara keseluruhannya.

Najib berkata, konsep kesederhanaan itu telah diketengahkan oleh Malaysia dalam menyelesaikan sesuatu konflik dalam dan luar negara.

Antaranya baru-baru ini ketika Kerajaan Malaysia bertindak sebagai pengantara melalui pendekatan kesederhanaan sehingga berjaya menyelesaikan krisis 40 tahun antara Barisan Pembebasan Islam Moro dan Kerajaan Filipina.

"Kita juga telah mengambil pendekatan serupa dalam isu keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, Barat Myanmar dengan menekankan soal kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada mangsa keganasan di Rakhine tanpa mengira latar belakang dan agama mereka," katanya.

Selain itu Najib berkata, baru-baru ini ulama terkemuka dunia Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga telah memberi pengiktirafan dan pujian kepada Malaysia di atas komitmen jitu negara dalam membantu dan menyokong rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis di bumi Gaza.

Mengakhiri perutusannya, Najib dan keluarga turut mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1434 kepada semua umat Islam Malaysia dan berharap sambutan itu diraikan bersama rakan-rakan daripada pelbagai bangsa demi menjayakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’. - BERNAMA

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®