Saturday, 24 November 2012

JALAN BERTAR DI PULAU BRUIT AMAT DIPERLUKAN

Pembinaan jalan raya bertar untuk menghubungkan semua kampung di sebelah utara Pulau Bruit dari Tekajong ke Penuai amat diperlukan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol.
 
Oleh itu, beliau memohon agar Jabatan Kerja Raya (JKR) mempertimbangkannya untuk memudahkan penduduk di kawasan itu.
 
"Kalau boleh untuk jangka panjang mungkin JKR dapat mempertimbangkan jalan raya bertar untuk menghubungkan semua kampung di sebelah utara Pulau Bruit dari Tekajong ke Penuai," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan bagi menyokong Rang Undang-undang Perbekalan 2013 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-17 semalam.
 
Jelasnya, selama ini warga Pulau Bruit di seblah utara hanya dapat dihubungi melalui pengangkutan air yang bergantung kepada pasang surut air.
 
Namun, katanya, terdapat satu lagi jalan alternatif lain iaitu jalan ladang sawit tetapi jika musim hujan ia becak dan membahayakan kepada pengguna.
 
Pada masa yang sama, Abdullah meminta agensi yang bertanggungjawab memantau dan memeriksa projek pembinaan jalan simen dari selatan Pulau Bruit bermula dari Tekajong hingga ke Penuai.
 
Beliau memberitahu ini kerana keadaan projek jalan simen itu tidak menepati spesifikasi yang telah ditetapkan.
 
"Semasa saya melawat jalan dari Kampung Tekajong ke Penipah baru-baru ini, hasil kerja sangatlah tidak memuaskan, tidak seperti jalan baharu dibina.
 
"Jadi saya memohon kepada agensi berkaitan memantau dan memeriksa projek ini dalam kadar segera," tegasnya.
 
Menyentuh mengenai aktiviti sosioekonomi beliau memohon kerjasama dari kerajaan menerusi agensi berkaitan dalam memajukan pengusahaan ikan lumek.
 
Beliau memberitahu ikan lumek kini dilihat berpotensi dijadikan produk industri yang dapat dikomersialkan dalam skala besar.
 
"Dengan perancangan yang teratur dan bimbingan pengusahaan ikan lumek ini dapat dijadikan sumber pendapatan utama rakyat di kawasan Semop ini," ujarnya.
 
Sumber: Utusan Borneo Online

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®