Friday, 20 July 2012

WIRA YANG DILUPAI NEGARA

-SELAIN PINGAT SP, BAPANYA, MENDIANG REGGIE HANYA "DIHADIAHKAN" DENGAN SEBUAH KERUSI RODA YANG BELIAU TIDAK PERNAH GUNAKAN BIAR SEKALIPUN & IANYA DIRASAKAN TIDAK SETIMPAL DENGAN PENGORBANAN YANG TELAH DIBERI, JELAS RAIYAN-


Di hati Raiyan Iskandar Reggie serta isterinya Norliza Bolhasan, mendiang bapanya/bapa mertuanya, Inspector Reggie Deli adalah “seorang wira sejati” sehinggalah ke hujung akhir hayat beliau.

“Dia sekalipun tidak pernah mengadu atau merungut hinggalah ke akhirnya (beliau meninggal dunia) bahkan tidak pernah pun dia menyatakan ketidakpuasan ataupun keluhan terhadap pasukan polis atau kerajaan biarpun dimata kami begitu nyata yang perkhidmatannya ketika menyabung nyawanya sendiri melawan komunis semasa darurat dahulu jelas tidak dihargai dengan setimpalnya.”

Ini kenyataan yang keluar dari mulut Raiyan, ketika ditemubual UnReportedNews™® semasa lawatan Ahli Parlimen Santubong dan juga Yang Dipertua Persatuan Bekas-Polis Sarawak Datuk Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar di rumahnya di BDC di Kuching petang semalam.

"Selain daripada pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), mendiang ayah saya hanya menerima satu kerusi roda dari pihak polis yang beliau tidak pernah guna walaupun sekali sehingga dia meninggal dunia, berbanding dengan beberapa orang veteran polis yang lain dimana mereka di beri ganjaran seperti pangkat dan juga tanah,” kata Raiyan.

Sementara itu, Norliza mendedahkan bahawa keinginan mediang bapa mertuanya yang meninggal dunia baru-baru ini pada 11 Julai tahun ini telah tercapai dimana mendiang Reggie berhasrat inginkan pengkebumiannya di adakan secara penuh hormat sebagai seorang anggota polis. (Beliau di kebumikan pada 14 Julai)


Mendiang Reggie yang berusia 78 tahun meninggal dunia kerana serangan jantung yang kedua di mana serangan jantung pertamanya telah mengakibatkan beliau lumpuh separuh badan selama 28 tahun.

Junaidi, yang diiringi oleh isteri beliau Datin Hajah Feona Sim Abdullah menyatakan  bahawa dia dan mendiang Reggie berada di dalam satu kompeni yang samaketika bertugas sebagai polis.

Sambil menyatakan takziah kepada Raiyan dan keluarganya, Junaidi menerangkan  beliau telah dimaklumkan mengenai pemergian ayah Raiyan pada hari tersebut, namun komitmen dan tugasnya menghalangnya untuk melawat mereka sehinggalah semalam.

"Sebelum ini, kami (Persatuan Bekas Polis Sarawak) sering berhubung dengan Reggie tapi yang amat menyedihkan adalah perkhidmatan Reggie dan semua wira-wira Sarawak yang lain yang telah tidak pernah yang diiktiraf dan dihargai dengan setimpalnya," kata Junaidi, yang juga Timbalan Speaker Parlimen.

Ketika menyampaikan sumbangan peribadinya, Junaidi mengingatkan Raiyan bahawa mendiang bapanya, Reggie adalah wira yang sejati dan Raiyan serta keluarga harus sentiasa berbangga dengan pengorbanan yang diberikan oleh bapanya kepada polis, Sarawak dan Malaysia, secara umumnya.





-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®