Saturday, 21 July 2012

PERUTUSAN RAMADHAN DARI TIMBALAN PERDANA MENTERI

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Alhamdullillah dilafazkan rasa penuh syukur dan tahmid ke atas Allah Maha Yang Maha Esa kerana memberi peluang kepada umat Islam di Malaysia dan di negara-negara lain di dunia sekali lagi menyambut kedatangan Ramadan Almubarak.

Sesungguhnya kehadiran Ramadan bulan yang penuh berkat dan dilimpahi pelbagai rahmat-Nya menimbulkan rasa insaf serta dapat menambah sifat tawadhuk dalam kalangan umat Islam ke arah menjadi ummah sejati.

Ramadan juga merupakan bulan untuk umat Islam meningkatkan amalan serta muhasabah diri dengan menginsafi penderitaan saudara seagama yang ditindas di negara-negara bergolak terutamanya di Palestin. Sesungguhnya kehidupan yang dikurniakan Allah kepada umat Islam di negara ini adalah rahmat serta nikmat yang amat besar serta tiada tandingannya.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus bersyukur kerana dikurniakan keamanan dan keharmonian menyebabkan kita dapat menjalani kehidupan berpuluh kali lebih baik berbanding saudara seagama kita yang terpaksa mengharungi Ramadan dalam suasana negara yang tidak aman, berhadapan masalah kekurangan makanan dan paling sedih disekat daripada mendapat segala bekalan.

Saya percaya hadirnya Ramadan tahun ini membawa cabaran kepada kita umat Islam untuk 'berperang' dengan anasir-nasir yang boleh meruntuhkan kekuatan hati kita sehingga akhirnya memberi kesan kepada pembentukan ummah yang sejati. Kekuatan jiwa yang diuji sepanjang Ramadan hakikatnya adalah landasan untuk umat Islam di negara ini bersatu hati mengetepikan segala sifat mazmumah yang akhirnya membuka laluan untuk negara Malaysia yang lebih gemilang.

Saya menyeru kepada semua umat Islam di negara ini supaya terus melaksanakan amalan-amalan yang akan menyatukan kita semua. Hentikan pembaziran, buang sifat dengki, saling menyakiti dan umpat keji lantaran kesemuanya itu akan melonggarkan ukhwah sesama kita sekaligus membuka ruang kepada anasir luar untuk menyelinap masuk seterusnya melemahkan umat Islam secara senyap.

Akhir kata saya mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam. Hidupkan bulan Ramadan dengan amalan-amalan mulia dan jauhi sengketa sesama kita.

Sekian, terima kasih

YAB Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri


-UnReportedNews™®





No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®