Wednesday, 11 April 2012

DAULAT TUANKU SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KE-14

-MENJUJUNG KASIH SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG TUANKU ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH-



Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang menaiki takhta menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin dari Terengganu, ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ini adalah satu-satunya peristiwa kenegaraan tertinggi bagi Malaysia. Peristiwa ini menepati kehendak Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memperuntukkan: “Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan…”

Frasa Kepala Utama Negara di bawah Perkara 32(1) itu tanpa sebarang keraguan atau kesamaran meletakkan Raja bagi Persekutuan Malaysia sebagai peneraju utama bagi negara ini.

Peruntukan ini yang telah sedia sedemikian semenjak berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, susulan kepada syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Lord Reid selaku pembentuk kerangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Pada masa yang sama, Perkara 32(2) pula memperuntukkan bahawa “Permaisuri Yang di-Pertuan Agong yang digelar Raja Permaisuri Agong adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.”

Sementara Perlembagaan Persekutuan menentukan format dan bentuk lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti yang terkandung di Jadual Keempat, Permaisuri Agong tidak dikehendaki melafaz apa-apa bentuk sumpah jawatan sekalipun Baginda diberi penarafan dan kedudukan tertinggi selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (SPBYDA).


Tuanku Abdul Halim adalah satu-satunya Sultan yang berpeluang ditabalkan sebagai SPBYDA bagi kali kedua. Baginda menduduki takhta SPBYDA kelima bagi tempoh 1970 hingga 1975, tempoh yang ditransisikan masing-masing oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra dan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein. Tuanku Abdul Halim adalah kemanakan kepada Tunku.

Dalam konteks sejarah, Tuanku Abdul Halim juga menempa sejarah. Perdana Menteri dalam tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sebelum ini ialah Tun Abdul Razak. Kini anakandanya, Datuk Seri Najib pula sebagai Perdana Menteri.

Baginda adalah SPBYDA pertama yang mula bersemayam di Istana Negara Baru.  Pada majlis gilang-gemilang 11 April, SPBYDA yang ke-14 akan menjalani semua acara tradisional diraja pada sebelah pagi hingga malam apabila santapan pertabalan diraja berlangsung. -Perak Today

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®